Selamat Datang Ke Laman Blog Anira

Selamat Datang Ke Laman Blog Anira

October 4, 2016

KISAH SI PENDAYUNG SAMPAN

Suatu hari; seorang professor yang sedang menjalankan kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan.  Pendayung sampan itu adalah seorang pakcik tua yang begitu pendiam. Professor memang mencari seorang pendayung sampuan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajiannya.

Dengan begitu tekun professor itu menjalankan kajiannya.  Diambil sedikit air laut dengan tabung uji....kemudian digoyang-goyangkannya.  Selepas itu dia menggoyang-goyangkan pennya mencoret sesuatu didalam buku lognya. Selama beberapa jam lamanya aktiviti ini berlaku.

Si pendayung sampan mula mendongak ke langit. Berdasarkan pengalamannya...dia berkata di dalam hati, "hmmm...hari nak hujan."  Tidak lama professor itu berkata, "OK, semua sudah siap. Mari kita balik ke darat".

Pendayung sampan akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itulah baru professor itu menegur si pendayung sampan.  "Kamu dah lama bekerja mendayung sampan?" tanya professor itu. "Hampir seumur hidup saya" jawab si pendayung ringkas.  "Seumur hidup kamu?" tanya professor itu kembali.  "Ya".  "Jadi kamu tak tahu perkara lain selain dari mendayung sampan?" tanya professor itu semula.  Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya.  Masih tidak berpuas hati, professor itu bertanya lagi, "Kamu tahu geografi?" Si pendayung menjawab soalan professor itu dengan gelengan kepalanya sahaja.

Tiba-tiba professor itu berkata "Kalau begini, kamu dah kehilangan 25% dari usia kamu". "Kamu tahu Biologi?" Gelengan kepala sekali lagi ditunjukkan oleh si pendayung.  "Kasihan.  Kamu dah kehilangan 50% usia kamu." "Kamu tahu Fizik?" Tanya professor itu lagi. Masih sama seperti tadi...si pendayung hanya menggelengkan kepalanya.  "Kalau begini, kamu telah kehilangan 75% usia kamu. Malang sungguh nasib kamu, semuanya tidak tahu.  Seluruh usiamu dihabiskan sebagai pendayung sampan." Kata professor itu dengan nada mengejek dan angkuh.  Namun begitu, si pendayung hanya mendiamkan diri.

Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun dan ombak besar datang dengan tiba-tiba.  Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik.  Professor dan pendayung sampan sama-sama terpelanting.  Sempat pual si pendayung itu bertanya kepada professor..."Kamu tahu berenang?" Professor hanya mampu menggelengkan kepalanya sahaja.  "Kalau begitu, kamu dah kehilangan 100% nyawa kamu." Kata pendayung sampan sambil berenang menuju ke pantai.

Pengajaran dari cerita ini, dapat disimpulkan bahawa IQ yang tinggi belum tentu boleh menjamin kehidupan.  Tak guna kita pandai dan tahu banyak perkara jika tak tahu perkara-perkara penting dalam hidup.  Adakalanya orang yang kita sangka bodoh itu rupanya lebih berjaya dari kita.  Dia mungkin bodoh dalam bidang yang tidak ada kena mengena dengan kerjayanya, tetapi "MASTER" dalam bidang yang diceburi.

Hidup ini singkat.  Jadi, tanyalah pada diri sendiri, untuk apakah ilmu yang dikumpulkan jika bukan untuk digunakan dan boleh digunakan?



ANIRA ABDUL

No comments:

Post a Comment