Selamat Datang Ke Laman Blog Anira

Selamat Datang Ke Laman Blog Anira

October 19, 2014

MENGETUK PINTU REZEKI

Dalam kehidupan seharian kita di dunia ini, kita amat-amat memerlukan kepada rezeki bagi meneruskan kehidupan kita.  Tanpa rezeki, manusia tidak boleh hidup.  Tetapi persoalannya, di manakah letaknya pintu rezeki ituBagaimana pula kita hendak membuka pintu rezeki tersebut?

Sebagai umat Islam, kita tahu bahawa Allah adalah pemberi rezeki.  Kita tidak dapat meraih rezeki tanpa izin-Nya.  Tetapi dalam usaha kita untuk mendapatkan rezeki, apakah kriteria-kriteria yang Allah perlukan supaya rezeki itu sampai kepada kita?  Apakah pula perbezaan diantara rezeki yang diberkati dan tidak diberkati?


ALLAH MAHA PEMBERI REZEKI
Kita mengetahui bahawa Allah itu bersifat ar-Razzaq iaitu maha pemberi rezeki.  Allah menjamin rezeki setiap makhluknya.  Setiap rezeki ada ujiannya.  Bukanlah ujian itu bersifat bala tetapi sebagai pengajaran buat hamba-Nya untuk lebih berusaha dan menjadi lebih menghargai kepada rezeki tersebut.  Sesungguhnya Allah itu maha pembuka rezeki dan Allah juga boleh menutup rezeki makhluk-Nya.


ISTIGHFAR PEMBUKA REZEKI

Rasulallah s.a.w. bersabda "Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya dan kelapangan bagi setiap kesempitannya dan memberi rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka." (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad).

Berdasarkan hadis di atas jelaslah pada kita bahawa salah satu kunci pembuka rezeki adalah dengan beristighfar, yang membawa maksud memohon ampun.  Dengan melazimi istighfar, seseorang itu akan dibukakan pintu rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.
 

DOSA PENUTUP REZEKI
Rasulallah s.a.w bersabda; "Sesungguhnya seorang hamba boleh tertahan rezekinya kerana dosa yang dilakukannya." (HR Ahmad, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah).

Hadis ini menunjukkan pada kita bahawa rezeki yang tertahan itu berpunca daripada dosa yang telah kita lakukan.  Dosa itu bersifat negatif dan rezeki itu bersifat positif.  Rezeki itu terhalang kerana dosa yang telah dilakukan.

Dosa-dosa seperti meninggalkan solat, mengumpat, memfitnah, menolak hukum Allah secara terang-terangan dan sebagainya adalah antara faktor yang menyebabkan rezeki seseorang itu terhalang.  Oleh itu, untuk mengatasinya marilah kita sama-sama perbanyakkan istighfar.


ISTIDRAJ


Kadang-kadang kita terfikir bagaimana masih terdapat orang yang dilimpahkah rezeki yang banyak sedangkan dia banyak melakukan maksiat dan kejahatan.  Rasulallah s.a.w bersabda: 

"Apabila kamu melihat bahawa Allah s.w.t memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (durhaka) ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah s.w.t "(Diriwayatkan oleh at-Tabrani).

Jelas pada hadis tersebut jika seseorang itu diberi rezeki sedangkan dia berdosa itu tandanya dia sudah diistidrajkan oleh Allah s.w.t.  Istidraj bermaksud pemberian nikmat Allah s.w.t kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya.  Maka berawaslah setiap muslim akan istidraj ini.  Jangan dibiarkan diri kita diistidrajkan oleh Allah.


SOLAT DHUHA

Solat dhuha juga merupakan kunci bagi pintu rezeki.  Banyak hadis yang menerangkan tentang kelebihan solat dhuha 

Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk AKu di awal pagi, nescaya Aku akan mencukupimu di akhirnya” (Riwayat Ahmad).

Hadis Qudsi ini menganjurkan kita untuk mengerjakan solat sunat dhuha yang faedahnya Allah s.w.t memberi jaminan terhadap keperluan-keperluan manusia pada setiap hari.  Rasulallah s.a.w juga bersabda:

Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah ats tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh buat baik satu sedekah dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mnegerjakan dua rakaat solat sunat dhuha.(Riwayat Bukhari dan Muslim)




TAQWA DAN PEMBUKA REZEKI

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.  Sesiapa yang bertaqwa kepada  Allah (dengan mengerjakan suruhanNya akan diberikannya kelapangan jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya).  Dan diberikannya rezeki yang tidak disangka-sangka.  Dan (ingatlah) sesiapa yang bertawakkal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan) untuk menolong dan menyelamatkannya).  Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang dikehendakiNya.  Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Ayat 2 & 3: Surah at-Talaq)

Ayat ini juga terkenal dengan nama ayat seribu dinar.  Daripada ayat ini, ia menjelaskan kepada kita bahawa dengan menjadi orang yang bertaqwa, maka baginya rezeki yang tidak disangka-sangka, dikeluarkan daripada sebarang kesempitan dan dicukupkan baginya segala keperluan.

Maka, marilah kita bertaqwa pada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa.  Allah sudah memberi jaminan yang jelas buat hamba-Nya bahawa  dengan menjadi hamba yang bertaqwa dan beramal soleh, Allah akan memberikan rezeki dan mencukupkan segala keperluan hidupnya.  Dan sudah tentu kelapangan hati dan kebahagiaan dunia dan akhirat kita harapkan.

Kesimpulannya, ada beberapa pengajaran yang kita boleh ambil dari sini.  Antaranya:
  • Sesungguhnya Allah adalah maha pemberi rezeki.
  • Untuk membuka pintu rezeki, beberapa syarat perlu dipenuhi.
  • Rezeki terhalang kerana dosa-dosa yang telah kita lakukan.
  • Perbanyakkan beristighfar agar Allah melapangkan hidup kita.
  • Sentiasa berwaspada dengan istidraj kerana ianya amat merugikan kita terutamanya apabila kita disesatkan Allah dengan nikmat dunia.
  • Orang yang berusaha mencari hidayah Allah, maka Allah s.w.t akan membantunya.
  • Jadilah hamba yang bertaqwa kerana padanya juga ada kunci kepada pintu rezeki. 

"Dari allah kita datang, kepada Allah jua kita dikembalikan kelak" 



Wallahu'alam. 





1 comment:

  1. Perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat. Terima kasih yer ^_^

    ReplyDelete