Selamat Datang Ke Laman Blog Anira

Selamat Datang Ke Laman Blog Anira

February 28, 2014

KELEBIHAN MEMBACA SURAH AL-KAHF PADA HARI JUMAAT


Surah Al-Kahf mempunyai 110 ayat. Ia merupakan surah Makkiyah. Di dalamnya terdapat mesej-mesej aqidah yang didatangkan sebahagiannya dalam bentuk cerita. Antara cerita atau penjelasan kisah yang dibawa di dalam surah ini ialah tentang kisah beberapa pemuda Ashabul Kahfi yang mempertahankan aqidah mereka tatkala diburu oleh pemerintah yang zalim, kisah si kafir yang memiliki dua kebun dan sahabatnya seorang yang beriman kepada ALLAH, kisah Nabi Musa dan Khidir, dan kisah Dzulqarnain membantu kaum yang berhadapan dengan masalah yang ditimbulkan oleh Yakjuj dan Makjuj.
Surah ini juga mengajar umat Islam agar apabila berjanji, hendaklah mengatakan “In Sha’ ALLAH”. Ia suatu kalimah yang sangat penting. Antara asbab turunnya beberapa ayat di dalam surah al-Kahf ialah kerana Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ditanya oleh orang-orang musyrik tentang 3 perkara iaitu kisah Ashabul Kahfi, kisah Dzulqarnain dan tentang ruh. Namun, wahyu tidak turun kerana Nabi sallAllahu `alaihi wasallam tidak menyebut “in sha’ ALLAH” tatkala berjanji untuk menjawab tiga persoalan tersebut. Selepas beberapa ketika dan agak lama menunggu wahyu, akhirnya turunlah ayat yang menyuruh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menyebut “in sha’ ALLAH” tatkala berjanji, diturunkan sekali jawapan-jawapan dari ALLAH tentang 3 persoalan tersebut.
Rasulallah bersabda: "Barangsiapa yang membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat; maka Allah akan meneranginya dengan cahaya dari Jumaat yang dia baca kepada Jumaat yang berikutnya." (H.R Baihaqi)
"Sesungguhnya barangsiapa membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat, nescaya ia akan diterangi oleh cahaya antara dua Jumaat." (HR Hakim 3349)
Daripada Muaz Ibnu Anas al-Juhari, daripada bapanya, daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: "Sesiapa membaca dari surah al-Kahf maka jadilah baginya cahaya daripada kepala hingga kakinya dan sesiapa  yang membaca keseluruhannya maka jadilah baginya cahaya antara langit dan bumi." (HR Ahmad)
Daripada Umar beliau berkata, Nabi s.a.w telah bersabda: "Sesiapa membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit untuknya di hari Kiamat dan diampunkannya diantara dua Jumaat." (HR Ibnu Katsir)
Rasulallah s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang menjaga 10 ayat dari surah al-Kahf ia akan memiliki cahaya pada hari Kiamat." Hadis ini bersumber dari Abu Darda'. (Tafsir Nur Ats_Tsaqalyn 3:243)
Imam Ahmad berkata daripada Abi Darda' r.a yakni daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: "Sesiapa yang menghafaz 10 ayat permulaan surah al-Kahf maka terhindar daripada dajjal"  
Imam Ahmad berkata daripada Abi Darda' r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang membaca 10 ayat akhir daripada surah al-Kahf maka terhindarlah ia daripada fitnah dajjal"
Semoga kita semua tergolong dari orang-orang yang dirahmati Allah dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.  Hendaklah kita ingat dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak melihat gambaran lahir kamu tetapi Allah melihat batin (hati) kamu."  Sama-samalah kita amalkan pada setiap hari Jumaat agar sama-sama kita mendapat keberkatannya. In shaa Allah.
Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment